Ingin mencari pasangan hidup dan cinta sejati adalah lumrah kita sebagai manusia. Sebagai wanita pula, kerisauan takut tersilap pilih pasangan adalah lebih dari lelaki.
Ini kerana sekiranya wanita tersilap pilih lelaki, maka kesan buruk yang bakal dilalui dalam hidup memberi kesan dan trauma yang mendalam terhadap emosi dan kehidupan mereka seterusnya.
Walaupun semua wanita tahu wujudnya lelaki yang ‘berbahaya’ namun masih ramai wanita tanpa sedar atau tidak terlibat bertemu dan berpasangan dengan mereka.
Kenapa masih ramai juga wanita terlibat memilih lelaki berbahaya?
Adakah mereka sengaja melibatkan diri dengan mereka? Tak mungkin!
Adakah mereka dikaburi dengan perasaan kesunyian dalam hidup dan amat memerlukan cinta dan kasih-sayang sehingga membuat pilihan yang salah?
Adakah mereka mempunyai tabiat atau sikap yang tak disedari dari dulu lagi yang menyebabkan mereka sentiasa memilih dan terlibat dengan lelaki berbahaya?
Adakah cara mereka dibesarkan dalam keluarga yang porak-peranda dan kurang perhatian menyebabkan mereka cenderung ke arah memilih lelaki seperti ini tanpa mereka sedar?
Atau adakah dengan mudah kita nak menyatakan itu adalah takdir yang Maha Esa?
Saya tertarik untuk menulis artikel berkaitan dengan lelaki berbahaya ni sebab pada pandangan saya, (anda pun mungkin setuju..) semakin hari semakin ramai wanita yang terlibat berpasangan dengan lelaki yang berbahaya. Tak kiralah sama ada sebagai teman lelaki mahu pun wanita yang telah berumahtangga.
Satu perkara yang memang pasti, wanita Tak Sedar dan Tak Tahu pun pada awal perkenalan atau perhubungan bahawa lelaki yang menjadi pasangannya itu berbahaya.
Macamana nak tahu seseorang lelaki itu berbahaya atau tidak? Ada ramai lagi ke lelaki yang betul-betul baik dan “sihat” dalam dunia ni?
Ada, kalau anda sendiri “sihat” dari segi emosi dan mempunyai pengetahuan yang berkaitan.
Ini membolehkan anda sekiranya berjumpa dengan lelaki jenis ini dan mengenalinya, anda mampu menghadapi dan seterusnya menjauhkan dia dari hidup anda. Hasilnya, anda boleh menumpukan masa, tenaga dan emosi untuk memfokuskan kepada lelaki yang baik dan sihat emosinya.
Adakah anda memahami peranan dan keadaan diri anda seterusnya menggunakan pengetahuan yang ada untuk mengubah keadaan supaya hidup anda berubah dan lebih selamat?
Artikel kali ini, saya terangkan dengan ringkas siapa dia yang dikatakan lelaki berbahaya supaya sekurang-kurangnya dapat membantu anda melihat dengan lebih luas lagi konsep tersebut.
Siapa lelaki yang berbahaya?
Lelaki yang boleh dikategorikan sebagai berbahaya kepada anda wanita ialah:
“Lelaki yang merosakkan/mengganggu/menyakitkan dan mendera pasangannya secara percakapan, emosi, fizikal, seksual, spiritual, undang-undang dan juga kewangan.”
Secara Percakapan termasuk mengugut anda, memaki-hamun, meninggikan suara seperti selalu menengking dan menghina maruah anda dengan perkataan.
Penderaan emosi pula termasuk mengawal dan mendominasi dengan tidak membenarkan atau memberi anda peluang untuk membuat pilihan. Contohnya, anda nak berpakaian pun nak kena ikut sedap mata dia saja malah cara anda berpakaian perlahan-lahan ditentukan olehnya.
Dia kerap mengkritik anda yang akhirnya membuatkan anda berasa terlalu rendah diri. Cemburu buta yang melampau sampai anda nak berkawan pun tak boleh. Segala yang anda buat mesti bagi tau dia dan mendapat izin darinya. Pendek kata putih kata dia maka putih la anda ikut.
Memalukan anda dan merendahkan anda di hadapan orang lain juga antara bentuk deraan emosi. Kadang-kala memandang anda macam “nak makan” supaya anda sentiasa patuh dan takut padanya.
Secara Seksual boleh dikatakan seperti memaksa pasangan/isteri melakukan hubungan seks di luar tabii, memaksa menonton filem lucah, dan memaksa pasangan/isteri melakukan seks di luar kehendak isteri sebagai contoh memaksa isteri melakukan seks sewaktu isteri dalam haid sedangkan isteri menolak.
Secara Kewangan pula faham-faham je la ya. Memang ada wanita malah ramai wanita yang membantu pasangannya dalam bentuk kewangan. Yelah, bukan apa, sesekali ‘top-up’kan ‘handphone’ contohnya, lagi pun bukannya orang lain..’boyfriend sendiri jugak.
Bagi wanita yang dah berumahtangga, membantu suami dalam bentuk kewangan sekiranya mampu dapat juga meringankan bebanan kewangan suami dan keluarga. Apatah lagi sekiranya suami mengalami masalah kewangan.
Sesekali itu biasa. Luar biasa jika sanggup berhabis untuk pasangan sampai hidup sendiri nak makan pun takde sedangkan lelaki itu terus-menerus “menyedut” anda sampai tinggal rangka!
Bagi wanita yang dah berkahwin pula, suami menghabiskan wang ringgit isteri sehingga tahap duit isteri duit dia, duit dia duit dia sedangkan dalam masa yang sama suami mampu berhibur dan berfoya-foya tanpa menghulur sesen pun nafkah untuk isterinya.
Antara tujuan lelaki seperti ini ialah supaya anda menjadi papa dan bergantung hanya kepada dia. Secara tak langsung anda dapat dikawal supaya tidak meninggalkannya kerana sumber kewangan anda hanya kepada dia. Situasi ini banyak terjadi kepada wanita yang telah berkahwin dan hanya sedar selepas keadaan menjadi parah.
Penderaan Fizikal seperti yang anda sedia maklum adalah tindakan ganas seperti memukul, menampar, menumbuk, menolak, menggunakan senjata, kunci anda dalam bilik, menarik rambut dan sebagainya yang berbentuk fizikal.
Secara Spiritual pula selalu menyatakan kepada isterinya bahawa isteri akan jadi derhaka sekiranya menentang atau melawan suami. Kebanyakan lelaki seperti ini menggunakan ayat ini untuk menakutkan dan melemahkan wanita. Dalam masa yang sama dia melayan isterinya dengan buruk dan tidak menunaikan tanggungjawab sebagai suami.
Suka juga saya tambah di sini, bagi yang sedang ‘bercouple’ tu, sekiranya ‘boyfriend’ anda merajuk atau marah kerana anda tolak kehendaknya, seperti mencium anda atau lebih jauh lagi melakukan hubungan sex sebelum kahwin, ini bermakna dia tidak menghormati anda sebagai wanita dan mempermainkan hak anda untuk mempertahankan kesucian diri seperti yang dituntut oleh agama.
Secara undang-undang pula berlaku sekiranya telah bercerai, lelaki tidak memberi nafkah kepada anak yang telah ditentukan oleh pihak mahkamah. Atau sengaja tidak hadir ke mahkamah dengan sengaja untuk melambat-lambatkan proses mahkamah dengan niat supaya isteri terpaksa menunggu lama untuk mendapat pembelaan dan sebagainya.
Seseorang lelaki itu boleh dikatakan sebagai pilihan yang berbahaya untuk anda ‘dating’ atau berpasangan dengannya sekiranya dia:
• Mahukan anda berhenti kerja atau bertukar rakan-rakan hanya kerana dia sahaja.
• Tidak menghormati masa anda untuk bersendirian/‘privacy’. Apa anda nak buat semua dia nak tau. Kalau petang anda telefon dia, kena ‘hantar report’ apa yang anda buat sebelum tu dan apa yang anda nak buat selepas itu. Senang cakap apa saja anda buat dan nak buat dia nak tahu.
• Suruh anda buat perkara yang anda tak selesa buat seperti menipu bagi pihaknya, pinjamkan dia duit sedangkan baru seminggu dua kenal.
• Mendesak ingin selalu berjumpa anda. Hari ni baru jumpa, esok nak jumpa lagi. Dua tiga hari kemudian nak jumpa lagi. Anda kata sibuk atau ada hal, dia pujuk. Anda tetap kata tak boleh dia mendesak juga.
• Ada reputasi menipu.
• Kaki judi, peminum arak.
• Menggunakan dadah atau pil-pil khayal.
• Pernah gagal dalam banyak perhubungan cinta yang lepas dalam sejarah hidupnya. Berapa kali nak kata banyak ya? Kalau umur baru 25 tahun dah gagal bercinta 5-6 kali tu banyak tu… Cinta monyet tak kira!
• Tidak memuji malah menampakkan sikap tidak suka kepada kedua ibu bapanya sedangkan anda dapat rasa dan tau kedua ibu bapanya bukanlah orang yang jahat. Walau pun kedua ibu bapanya ada membuat kesalahan, memburukkan kedua ibu bapa sendiri lebih-lebih lagi pada peringkat baru anda kenali dia menunjukkan sesuatu yang tidak kena dengannya.
• Mempunyai sejarah telah didiagnosis mengalami masalah tekanan jiwa atau “mental illness”
• Tidak berkerja,(Sebab pemalas) Ada sahaja alasan sedangkan anda lihat dia bukanlah sakit atau bodoh.
• SELALU bertukar-tukar kerja atau dipecat dan SENTIASA memberi alasan menyalahkan orang lain sebab kehilangan kerjanya itu.
• Ingin mengawal fesyen rambut anda, pakaian anda, sikap dan cara anda, rakan-rakan atau dengan siapa anda berkawan dan kerja anda pun dia nak kawal juga.
• Menyembunyikan sesuatu maklumat penting tentang dirinya yang anda hanya tau kemudian. Sebagai contoh, dia kata dia bujang, rupanya duda, memanglah duda tu bujang..tapi kenapa tak cakap awal-awal dia pernah kahwin.
• Merasakan dirinya saja yang istimewa, unik dan lebih baik berbanding orang lain.
• Percaya undang-undang untuk orang lain, dia tak tertakluk pada undang-undang dan boleh buat apa yang dia suka.
• Terlalu menarik dan peramah lebih dari kebiasaan. Perlu ambil perhatian di sini, lelaki yang ‘handsome’, cute, ‘smart’, peramah dan boleh membuat perempuan tertarik padanya dengan cepat sekali dari segi penampilannya, caranya, fizikalnya atau apa saja pada dirinya, anda perlu berhati-hati.
Perbezaan di antara wanita yang bersama/berpasangan hanya sekali sahaja dengan lelaki berbahaya berbanding wanita yang kerap berjumpa/berpasangan/ dengan lelaki seperti ini ialah wanita yang pertama itu ‘terbuka’ untuk belajar dan kenal dengan cepat kesilapannya.
Wanita kedua pula tak mahu belajar, banyak memberi alasan atau gagal ‘membuka’ minda untuk mendapat pengajaran.
Hasilnya wanita yang pertama akan lebih kuat, berkeyakinan, berfikiran positif dan akhirnya mampu bertemu cinta sejati dengan lelaki yang ‘sihat dan selamat’.
Wanita kedua pula, akan terus derita..itu saja!
Anda dalam golongan yang mana?
Fikir-fikirkan!
credit to adha
lilyto